Sejarah Sekolah

 


SMK KENINGAU II, Keningau mula beroperasi pada 6hb Januari 1997. Pengambilan pertama untuk Tingkatan Satu (12 buah kelas) dan Tingkatan Empat (3 buah kelas) dengan bilangan pelajar keseluruhannya lebih kurang 550 orang. Perintis sekolah ini terdiri daripada para pelajar sekolah menengah di sekitar Daerah Keningau. Mereka ditempatkan di sekolah ini kerana sekolah asal tidak dapat menampung mereka ekoran pertambahan pelajar di luar jangkaan.

Encik Sahumin Hj. Daud adalah Pengetua pertama di sekolah ini. Beliau dibantu oleh Puan Jaharah Jaafar sebagai Penolong Kanan Pentadbiran dan Encik Sailin Sarabini sebagai Penolong Kanan HEM. Mereka dibantu oleh dua orang staf sokongan dan 12 orang guru.

Pegawai-pegawai yang terlibat untuk merancang pembinaan sekolah ini termasuklah Pegawai Pendidikan Bahagian, Encik Mohd Salleh Abd Wahab dan Pegawai Pendidikan Daerah, Encik Awang Hassan Bin Awang Amin. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah ini telah ditubuhkan pada 5hb April 1997. Penaung pertama persatuan ini ialah YB Datuk Haji Sairin Haji Karno dan pengerusi pertama persatuan disandang oleh Encik Raymond Pudon.

Pada 16hb Mac 1998, Encik Joanes Onson telah dilantik sebagai Pengetua sekolah yang kedua. Manakala Puan Jemira Ekong sebagai Penolong Kanan HEM menggantikan Encik Sailin Sarabini yang dilantik sebagai Kaunselor pelajar.

Sekolah ini telah dibina di atas tapak seluas 25 ekar yang terletak berhampiran Kampung Luagan di dalam Mukim Keningau oleh Syarikat Sri Padang Kontraktor dengan kos sebanyak RM8,922,650.65. Bangunan sekolah ini siap di bina pada 12hb Nov. 1996.

Sekolah ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti sebuah blok dua tingkat bangunan pentadbiran, sebuah makmal ICT, dua blok dua tingkat bilik darjah, sebuah blok empat tingkat makmal sains, bengkel kemahiran hidup, bengkel ERT, sebuah bilik makmal bahasa, sebuah bilik Pusat Sumber, sebuah bilik Pendidikan Seni, sebuah bilik Komputer, sebuah blok Teknologi Kejuruteraan, sebuah blok Kantin sekolah dengan dewan terbuka, sebuah Surau, sebuah blok dua tingkat asrama lelaki dan perempuan serta dua blok flat guru.

Dari segi kemudahan permainan, sekolah ini mempunyai padang bola sepak, sebuah gelanggang bola keranjang, bola tampar, sepak takraw dan bola jaring. Sekolah ini masih mempunyai ruang untuk membina gelanggang permainan lain seperti tenis dan sebuah dewan tertutup.

Pelajar-pelajar sekolah ini terdiri daripada kaum Dusun dan Murut. Selain dari tinggal di asrama (200 pelajar), hampir 65% datang ke sekolah dengan menggunakan perkhidmatan bas sekolah, kereta dan selebihnya berjalan kaki dan menunggang basikal. Pembinaan

Sekolah ini adalah bersesuaian dengan dasar Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memberi peluang pelajaran kepada semua warga Malaysia.

Pertambahan pelajar tingkatan 3 dan kelonggaran syarat lulus PMR membolehkan ramai pelajar tingkatan 3 meneruskan pelajaran ke tingkatan 4 amat bersesuaian dengan pembukaan sekolah ini.

Dengan motto “BUDAYA ILMU TERAS KECEMERLANGAN” dan dengan izin Tuhan Yang Maha Esa, sekolah ini akan menjadi sekolah contoh dan penggerak kecemerlangan dalam sedikit masa lagi.